Versi Melayu Lagu Lama NDP Mendapat Pujian Penggubah Asal, Jeremy Monteiro
Sempena Hari Kebangsaan yang ke-55, saluran podcast nombor satu di Spotify, OKLETSGO, mempersembahkan lagu patriotik ‘One People, One Nation, One Singapore’ dalam bahasa Melayu.
Diterjemah oleh pengasas bersama OKLETSGO Dzar Ismail dan digubah semula oleh pemuzik Aidil Akmal dan penerbit lagu Danish Naufal, nyanyian semula ini telah melepasi 200 ribu tontonan secara kolektif dan mendapat sambutan hangat dalam dua hari.
VERSI OKLETSGO PILIHAN WARGANET
Disampaikan dengan penuh penghayatan dan semangat, rendisi mereka mendapat pujian menggunung daripada penonton Melayu setempat.
Turut dikongsi di laman-laman sosial seperti SG Follows All dan All Singapore Stuff, versi OKLETSGO juga diminati bangsa-bangsa lain meski mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Malah, ada yang menyarankan agar nyanyian mereka dapat dikeudarakan di wadah-wadah media aliran utama (mainstream media).
Dalam pada itu, beberapa penonton juga meminta agar OKLETSGO dapat menyampaikan lagu tersebut dalam bahasa Mandarin dan Tamil.
JEREMY MONTEIRO TERHARU
Terharu, penggubah asal Jeremy Monteiro, juga memberi penghargaan kepada OKLETSGO.
“Wow! Saya suka! Terjemahan dan rendisi yang amat baik! Terima kasih banyak-banyak. Saya sangat besar hati,” tulis Encik Monteiro di bahagian komen.
Kongsi Dzar kepada wartawan, beliau turut berhasrat untuk bertemu OKLETSGO.
“Kami rasa amat terharu kerana karya kami dihargai,” kata Dzar.
Tahun lalu pula, rendisi ‘We Are Singapore’ OKLETSGO mendapat perhatian Presiden Halimah Yacob, yang mengongsi karya mereka di laman Facebooknya.
Melihat sokongan dan maklum balas positif daripada rakyat setempat, OKLETSGO bercadang untuk mengeluarkan nyanyian semula setiap tahun tahun agar dapat memainkan peranan dalam membangkitkan sifat kesetianegaraan sewaktu Hari Kebangsaan.
Comments