Tular Di Wadsapp, Petugas Lengkap PPE Menguruskan Jenazah
Kebelakangan ini, tular sebuah video enam minit di Whatsapp dan Facebook yang menggambarkan situasi pengebumian yang amat berbeza berbanding dengan pengebumian ‘biasa’.
Dikatakan, video tersebut merupakan pengebumian jenazah Muslim positif COVID-19 pertama Singapura.
Namun, ada yang menyangkal spekulasi tersebut dan berkongsi bahawa jenazah ‘sakit biasa’ sahaja.
Walau bagaimanapun, sekumpulan warganet mengatakan video tersebut merupakan video lama.
Dan apabila wartawan bertanya tentang kesahihan video berikut kepada salah seorang tukang muat naik, pertanyaan wartawan tidak diendahkan.
Malah, wartawan di’block’ sebelum dapat menanyakan soalan lanjut.
Perbualan waratwan bersama tukang muat naik di Messenger
Lihat video penuh:
Jika diteliti, rakaman tersebut mempunyai beberapa aspek ‘menarik’
1) PEMAKAIAN PPE
Rombongan yang mengiringi serba lengkap dengan peralatan pelindungan peribadi (PPE) — atau sekurang-kurangnya pelitup muka.
Pada mulanya, empat individu yang menyarungkan PPE, kelihatan mengangkat jenazah keluar dari sebuah van ke atas meja besi yang dialas dengan kanvas biru.
2) TAK RAMAI YANG HADIR
Selain mereka berempat, yang dipercayai merupakan petugas perubatan, kurang daripada sepuluh ahli keluarga turut menghadiri sesi pengebumian tersebut.
Namun, mereka didapati berdiri berjauhan antara satu sama lain dan jenazah, seolah-olah mematuhi peraturan jarak sosial.
Selain itu, setiap yang hadir juga memakai pelitup muka.
3) PENGGUNAAN SERBUK
Selanjutnya, jenazah dipapah masuk ke dalam kubur dan ditutup dengan papan.
Biasanya, selepas ini, jenazah akan ditimbuskan dengan tanah. Akan tetapi, liang lahadnya seperti ditaburkan dengan serbuk dahulu.
Beberapa paket serbuk dituang ke dalam liang lahad.
Jenama atau bahan terkandung dalam serbuk tersebut kurang jelas.
Namun berdasarkan kajian, serbuk berkenaan berkemungkinan besar merupakan bahan penyahjangkit agar virus tidak merebak kepada mereka yang bertugas di pusara aman.
Difahamkan, virus boleh ‘hidup’ dalam badan mereka yang telah pun meninggal selama seminggu.
Pada akhir video tersebut, liang lahad arwah kelihatan seperti ‘berasap’ dek serbuk yang berterbangan.
Proses menimbus tanah dan bacaan talkin tiada dalam rakaman. Punca kematian jenazah masih menjadi persoalan. Newsdesk mendoakan agar arwah ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.
Luahan wartawan: Sebak melihat pengebumian ini. Walaupun ramai yang mengeluarkan spekulasi masing-masing, video ini pastinya telah membuat orang ramai muhasabah.
Lagi-lagi dalam keadaan cirbuit breaker, banyak perkara dah berubah. Pergerakan disekat. Pekerjaan dan walimah ditunda,. Kini, cara kita menyemadikan jenazah juga berbeza, mentelah lagi bagi mangsa COVID-19.
Sama ada video ini lama, baru atau bukanlah apa yang kita sangkakan, anggaplah ia sebagai pembuka mata. Kalau virus ini berterusan, pengebumian beginilah yang akan kita atau orang tersayang akan lalui.
Jadi jagalah kesihatan dan kebersihan, duduk di rumah dan patuhi undang-undang,
Comments