Tiga Insan Budiman Bantu Tukar Tayar Yang Meletup, Kuyup Dibasahi Hujan
Terjerat di tengah-tengah lebuh raya pada waktu malam dalam keadaan hujan lebat dengan tayar meletup cukup untuk menggelisahkan seseorang.
Mentelah lagi apabila anak kecil yang dibawa keluar bersama mula menangis ketakutan.
Begitulah situasi Wai Peng Loh enam hari lalu ketika terkandas di Ekspreswe Seletar (SLE) semasa dalam perjalanan pulang.
Sumber: Today Online
Mujur, nasib malangnya berubah tatkala tiga pemuda menghulurkan bantuan kepadanya.
TAYAR MELETUP KETIKA MEMANDU
Kongsi Loh di Facebook, dia dan anak kecilnya dalam perjalanan pulang ke rumah pada 11:30 malam apabila dia terdengar bunyi “pop” sebelum keretanya mula bergerak perlahan.
Dan seperti diduga, tayar keretanya pancit.
Sumber: CrackedRabbitGaming
SYARIKAT INSURANS TIDAK MEMBANTU
Tidak tahu menukar tayar, Loh menelefon syarikat insurans yang dilangganinya untuk meminta khidmat trak tunda.
Namun setelah menunggu 20 minit untuk pengemaskinian, agen syarikat tersebut berkata dia “tidak dapat mencari polisi Loh kerana sistem mereka tidak boleh diakses” pada waktu itu.
Sumber: Shenton Recovery
Terdengar perbualan Loh bersama agen tersebut, Loh berkata anaknya mula meraung kerana takut tidak boleh pulang dan terkandas dalam banjir.
3 PEMUDA MENYELAMATKAN LOH DAN ANAKNYA
Sewaktu menenangkan anaknya yang sedang gelisah, Loh menggambarkan bahawa dia ternampak tiga jejaka menghampiri keretanya.
“Salah satu daripada mereka mengetuk pintu kereta saya dan menawarkan pertolongan sekiranya saya ada tayar ganti.
“Hujan semakin lebat dan saya sebenarnya hendak menyuruh mereka pulang. Akan tetapi memandangkan pihak insurans tidak menghubungi saya, saya terima sahaja bantuan mereka,” catat Loh.
Dengan tangkas, pemuda-pemuda tersebut menukar tayar Loh dan hanya dalam sepuluh minit, kereta Loh siap untuk dipandu semula.
BERTERIMA KASIH
Sumber: Facebook
Sebagai tanda terima kasih, Loh merakamkan penghargaannya di Facebook dengan harapan mesejnya sampai kepada ketiga-tiga mereka:
“Terima kasih kerana membantu kami. Kamu bertiga diberkati dengan hati yang baik dan semoga kamu semua senang selalu.”
Selain Loh, pemuda-pemuda ini turut membantu beberapa lagi pemandu kereta yang menghadapi masalah sama disebabkan lubang jalan raya berdekatan susur keluar Lentor.
Terharu akan sikap mereka, Loh meluahkan bahawa dia akan menjadikan ketiga-tiga mereka sebagai contoh tauladan buat anaknya.
Luahan wartawan: Sejuk hati baca pos ni. Semoga pengguna jalan raya lain dapat menuruti sikap pemuda-pemuda tersebut. Kita bantu orang, esok lusa orang lain pula akan bantu kita.