Terkesan Dengan Kisah 12 Anak, Nur Insan Turun Padang
Sementara kita sibuk menyediakan kuih-muih dan menghias rumah untuk lebaran nanti, sebuah keluarga Melayu/Islam di Singapura sedang menghadam berita tentang pemergian ahli keluarga mereka.
Tiga hari lepas (19 Mei), Allahyarhamah Nurhayati meninggalkan suaminya, Norjohan Buniran, 46 tahun dan 12 anak berumur antara satu hingga 18 tahun.
Johan bersama arwah isteri, Norhayati. Sumber: Norjohan Buniran
Keluarga yang menetap dalam flat dua bilik di Wellington Circle ini bukan sahaja kehilangan tulang belakang mereka malah, mereka juga kekurangan bekalan makanan serta wang.
Keadaan di kediaman keluarga ini. Sumber: WhatsApp
Akibat penyakit barah serviks Allahyarhamah Nurhayati, Johan terpaksa berhenti pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan setahun lalu agar dapat menjaga isteri tercinta, kata Diana Hairul di Facebook.
BANTUAN MENCURAH-CURAH
Susulan catatan Diana pagi semalam (21 Mei), kisah menyayat hati Johan tular di WhatsApp.
Berikutan itu, rakyat setempat tampil ke kediaman Johan untuk menghulurkan makanan dan keperluan harian.
Sekitar 10 malam semalam, rumah Johan sesak dengan orang yang ingin membantu.
Sumber: Noorizuwan Jaafar
NUR INSAN MENAMPUNG KELUARGA JOHAN
Institusi pendidikan Islam setempat, Nur Insan turut menyumbang kepada keluarga ini.
Malam semalam, pegawai kebajikan Nur Insan, Noorizuwan Jaafar, telah mewakili institusi berkenaan untuk memberikan lampin dan susu bayi bernilai $200.
Barangan untuk anak-anak kecil keluarga itu. Sumber: Noorizuwan Jaafar
Noorizuwan juga sempat untuk menemu bual Johan.
“Johan amat berterima kasih atas pemberian yang diberi.
“Ramai yang menyumbang makanan jadi sekurang-kurangnya, dia tidak risau tentang bab pemakanan,” kongsi Noorizuwan kepada wartawan.
Noorizuwan bersama Johan. Sumber: Noorizuwan Jaafar
Tambahnya, sebelum ini, Johan mendapat bantuan daripada sebuah badan kebajikan bagi menyokong keperluan arwah isterinya sekeluarga.
Namun, memandangkan isterinya sudah tiada, Johan berkata keluarganya tidak layak untuk menerima bantuan daripada perbadanan tersebut lagi.
Oleh itu, Nur Insan akan membuka akaun wang dalaman buat keluarga Johan.
Gambar hiasan. Sumber: USA Today
“Di Nur Insan, kami membuka akaun bagi keluarga-keluarga yang menghadapi situasi kronik dan memerlukan sokongan tekal.
“Dengan adanya akaun ini, Johan boleh menghubungi pihak kami untuk mengeluarkan jumlah yang diperlukan,” ujar Presiden Nur Insan, Muhammad Faaris.
Menggunakan dana yang diberi masyarakat, Nur Insan bakal memperuntukkan 3 hingga 5 ribu buat Johan sekeluarga.
Jumlah ini dianggarkan cukup untuk menampung keperluan mereka selama tiga hingga empat bulan.
Dalam pada itu, Nur Insan juga akan mendaftarkan anak-anak Johan yang layak untuk menghadiri Madrasah Percuma Nur Insan di cawangan Yishun.
Madrasah percuma Nur Insan dibuka untuk semua lapisan masyarakat. Sumber: Nur Insan (Facebook)
Duit tambang dari Sembawang ke Yishun akan ditampung Nur Insan.
“Nur Insan akan berusaha untuk terus membantu keluarga Johan sehinggalah mereka boleh membiayai diri masing-masing,” kata Faaris.
Semoga Johan sekeluarga tabah menghadapi ujian ini dan mereka yang membantu diberkati-Nya
Comments