Plastik Sampah Dijadikan Baju Perlindungan
Bahana kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), para petugas kesihatan di Kelantan terpaksa menyarungkan berlapis-lapis beg plastik di atas kepala untuk melindungi diri mereka daripada potensi bahaya.
Sementara menantikan bekalan PPE tiba, kakitangan barisan hadapan dari hospital awam tersebut dilihat membantu satu sama lain dalam menggayakan inovasi itu.
Beg plastik pertama dikerat sedikit dan kemudiannya disarungkan di muka salah seorang petugas kesihatan.
Lapisan tersebut selanjutnya ditarik mengikut bentuk muka pekerja tersebut, sama seperti menyarungkan anak tudung ‘ninja’.
Lapisan beg plastik kedua pula menutup bahagian kepala pekerja itu. Langkah-langkah ini dilakukan untuk melindungi rambut dan kulit kepala daripada pencemaran udara.
Akhir sekali, pakaian dirapikan di mana baki plastik daripada lapisan pertama diselitkan ke dalam sarung baju yang dipakai. Saksikan video penuh:
Menyusuli video tersebut, yang dimuatnaikkan oleh wartawan Melissa Goh dari Channel NewsAsia, beberapa warganet berkongsi bahawa mereka juga menghasilkan PPE sendiri.
Ain, seorang petugas barisan hadapan, menjahit sejenis ‘kain’ khas untuk membuat sarung kepala. Dia mengatakan sarung tersebut tidak panas seperti plastik dan tidak mudah koyak.
Areena juga menghasilkan pelitup muka sendiri. Menyusuli perkongsian-perkongsian tersebut, para kakitangan barisan hadapan mendapat kata-kata pujian dan sokongan daripada rakan internet.
Bahkan, ruangan komen juga dipenuhi desakan rakyat Malaysia kepada Kerajaan untuk mempercepatkan bekalan PPE dan sumber perubatan lain ke hospital-hospital.
Semoga keberanian mereka dijulang dan keperibadian mereka dijaga.
Comments