Pemuda Panjat Dinding Hospital Dan Lihat Menerusi Jendela Untuk Jenguk Ibu Yang Menghidapi Kovid19
Berada di sisi orang tersayang pada saat-saat terakhirnya detik berharga yang didambakan setiap individu agar dapat meluangkan masa bersama sebelum berpisah buat selama-lamanya.
Malangnya buat ahli keluarga pesakit COVID-19, perkara ini tidak dapat dilaksanakan — tidak kira sama ada penyakit pesakit berkenaan sederhana atau kritikal — bagi mencegah virus tersebut daripada merebak.
Bagaimanapun di Palestin, seorang anak pesakit COVID-19 telah menentang segala halangan asalkan dapat menatap orang tuanya, meskipun dari jauh.
JENGUK IBU DARI JENDELA
Ketaatan dan kasih sayang Jihad Al-Suwaiti terhadap ibunya jelas terpancar tatkala dilihat memanjat dinding hospital untuk memberi sokongan dan memastikan ibunya mendapat penjagaan rapi.
Sumber: Twitter
Jejaka 30 tahun dari Hebron, Palestin ini dilaporkan meluangkan masa di hospital setiap hari selama berjam-jam sehinggalah ibunya, Rasma Salma, meninggal dunia minggu lalu.
“Dia memanjat saluran paip agar dapat memantau ibunya yang ditempatkan di tingkat dua hospital ini.
“Dia menghabiskan hampir keseluruhan harinya di situ, memerhatikan keadaan ibunya dari luar tingkap, sebelum turun apabila yakin ibunya sudah tidur lena,” kata seorang pegawai hospital kepada portal berita Al Araby.
Sumber: Twitter
Menurut abang Jihad, perbuatan tersebut dilarang pihak hospital atas faktor keselamatan akan tetapi, adiknya tetap berdegil.
ANAK IBU
Sumber: Twitter
Sebagai anak bongsu dan yang paling rapat dengan ibunya, Jihad dikatakan tidak dapat menghadam berita tentang ketiadaan ibunya dengan tenang.
“Ketika dimaklumkan tentang kematian ibu, Jihad marah dan tidak percaya,” ujar abangnya kepada media.
“Tetapi kini dia nampaknya sudah boleh terima kenyataan.”
Allahyarhamah disahkan dijangkiti COVID-19 beberapa minggu lalu dan menghembuskan nafas terkahir pada 16 Julai (Khamis).