Pekerja Asing Terawih Covid Di Expo
Suasana Ramadhan di pusat pengasingan Singapore Expo kelihatan lebih ‘hidup’ daripada apa yang sedang dilalui majoriti penduduk Melayu/Islam Singapura.
Berbanding kita, yang cuma dibenarkan untuk melakukan tarawih di rumah dek langkah jarak sosial, para pesakit COVID-19 yang ditempatkan di sana diberikan kebebasan untuk melakukan perkara yang didambakan masyakarat setempat — tarawih berjemaah bersama orang luar daripada keluarga.
Muhammad Nasiruddin, salah seorang penghuni di Singapore Expo, bersama para pesakit lain yang tidak lagi demam, dibenarkan untuk melakukan tarawih bersama-sama.
“Kami semua positif COVID-19. Sebab itulah kami boleh tarawih (bersama-sama) di Expo,” jelas Nasiruddin dalam posnya di Facebook pada malam 24 April.
Dia turut menambah bahawa langkah jarak sosial dan penggunaan pelitup muka tetap dipatuhi semasa melakukan ibadah tersebut.
Meskipun terharu atas ‘kesempatan’ untuk melakukan tarawih bersama umat Islam yang lain, Nasiruddin berharap untuk kembali ke pangkuan keluarganya.
“Tolong doakan agar kami semua boleh kembali kepada masyarakat.
“Sesungguhnya Allah maha mengetahui segalanya. Yang diluar tak dapat berjemaah, yang dikurung diberi kesempatan. Indahnya RAMADHAN tahun ini,” luah Nasiruddin, yang disahkan positif sejak 8 April.
Pos asal
Semoga mereka yang menghidapi COVID-19 pulih secepat mungkin agar boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Luahan wartawan: Di sebalik malang yang menimpa, tentu ada kebaikan atau rahmatnya.
Bagi pesakit COVID-19 di Expo, mereka dapat solat beramai-ramai. Bagi kita pula yang di rumah, kita diberi kesihatan yang sempurna.
Janganlah merungut. Bersyukur saja dengan apa yang diberikan. Dalam pada itu, doakanlah buat yang terbaik buat mereka yang dalam keperitan.
Comments