Mayat Lelaki Remaja Ditemui Di Perairian Changi, Punca Kematian Disiasat
Sumber Foto: Straits Times
Anggota selam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menemui mayat seorang belia lelaki 14 tahun di perairian Changi petang tadi (22 Ogos).
Menukil laporan Straits Times, SCDF menerima “panggilan meminta bantuan” pada 3:30 petang di pantai tersebut.
Ketika tiba di lokasi kejadian, SCDF menemui seorang lelaki sedang diperiksa paramedik di tepi pantai sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH).
Menurut Berita Mediacorp, para penyelam pasukan elit SCDF, Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (DART), dikerahkan pula untuk mencari remaja 14 tahun yang pada masa itu, masih tidak ditemui.
“Para penyelam kemudian menemui tubuh (remaja berkenaan) kira-kira 15 meter dari kawasan pantai. Orang tersebut disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik SCDF,” kata SCDF kepada Berita Mediacorp dalam sebuah kenyataan.
Remaja berkenaan disahkan meninggal dunia oleh SCDF di tempat kejadian.
TULAR DI FACEBOOK
Kes ini turut ditularkan di Facebook beberapa jam lalu oleh pengguna Nasatiqah Fatin.
Keadaan di pantai Changi sewaktu itu kelihatan sesak dengan pengunjung yang hendak tahu tentang apa yang sedang berlaku tapak kejadian.
SCDF dan Pasukan Polis Singapura (SPF) juga kelihatan bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa.
REAKSI WARGANET
Susulan perkongsian Nasatiqah — yang telah meraih lebih seribu perkongsian dalam kurang 5 jam — beberapa warganet menasihati penduduk setempat agar jangan berenang di pantai Changi disebabkan tanah curam dan arus kuat.
Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian luar biasa.
SPF sedang menjalankan siasatan.
Comments