Kucing Kesayangan Ramai Ditemui Mati, Kemungkinan Dihempas Ke Dinding
Seekor kucing ditemui maut di blok 128 Marsiling Rise petang kelmarin (16 Ogos) dalam keadaan berlumuran darah.
Menurut saksi kejadian, muka kucing hitam terbabit, yang dianggarkan berusia dalam lingkungan setahun, pecah dan dijumpai dalam keadaan kaku di tangga antara tingkat lima dan enam blok berkenaan.
“Pada 3:07 petang, saya menerima mesej daripada jiran yang memberitahu saya tentang kejadian ini.
“Apabila saya keluar rumah untuk melihat sendiri, dinding dan lantai ditutupi dengan percikan darah dan mulut kucing tersebut terbuka sedikit, seolah-olah sedang menahan sakit.
“Barangkali kali kucing itu dihempas ke dinding. Sangat menggerunkan,” kongsi saksi Raja Noorashikin Raja Abdul Rahman kepada Plan B.
Tambahnya, penaniayaan berkemungkinan berlaku antara malam Jumaat (14 Ogos) hingga dini hari Ahad (16 Ogos) kerana hanya sewaktu tempoh itu, blok tersebut tidak dikunjung kakitangan pembersihan.
REAKSI WARGANET
Berikutan penderaan ini, abang Raja Noorashikin, pengacara OKLETSGO Raja Razie, membawa berita tersebut ke akaun-akaun media sosialnya.
Rata-rata, warganet menggesa para saksi untuk melaporkan isu tersebut kepada pihak polis dan Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA) agar pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Sehubungan dengan itu, Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee Encik Zaqy Mohamad menyatakan bahawa beliau akan campur tangan untuk mengesan pendera terbabit.
“Saya amat simpati atas kezaliman yang dilalui kucing ini. Saya telah meminta agar pihak polis menjalankan siasatan. Semoga pesalah dapat dikenal pasti,” kata Encik Zaqy kepada Raja Razie menerusi direct message.
POLIS DAN NPARKS AMBIL TINDAKAN
Kata Raja Noorashikin, polis telah mengambil kenyataan jirannya pada hari kejadian setelah laporan polis difailkan.
Semalam (17 Ogos) pegawai-pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) turut turun ke lokasi kejadian untuk menggali semula kucing terbabit, yang terdahulunya ditanam Ahad lalu oleh penduduk sana.
Jiran-jiran menanam jasad kucing di tanah lapang berdekatan blok 128 Marsiling Rise.
Difahamkan, pihak NParks bakal menjalankan autopsi ke atas kucing tersebut.
NParks telah menggali semula untuk menjalankan autopsi.
Mewakili suara penduduk Marsiling, Raja Noorashikin berharap agar pihak berkuasa dapat memberkas pesalah agar kes sedemikian rupa tidak terjadi lagi.