Irsyad MUIS mengenai budaya kuda kepang tular dengan lebih 9000 ‘likes’
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengeluarkan kenyataan pada 1hb Julai bahawa mereka telah dirujuk oleh polis di bahagian perlesenan dan Infocomm Media Development Authority mengenai pandangan agama tentang persembahan "kuda kepang"
'Kuda kepang' adalah tarian tradisional Jawa yang sering dipersembahkan semasa perkahwinan Melayu atau majlis peribadi
Persembahan ini biasanya melibatkan beberapa amalan bukan Islam, termasuk memasuki keadaan separa sedar dan melakukan aksi seperti mengunyah/makan kaca dan meminum berbaldi air
Dalam Irsyad yang dikeluarkan MUIS, mereka berpendapat bahawa persembahan seperti ini terdapat elemen yang tidak diterima dalam Islam
Ini termasuk keadaan berkhayal yang membawa kepada pelaksanaan tindakan yang membahayakan keselamatan dan kesihatan kedua-dua penghibur dan ahli masyarakat, serta pemanggilan roh dan jin. Elemen-elemen ini bertentangan dengan ajaran Islam dan perlu dielakkan oleh orang Islam pada setiap masa
Ketika dihubungi, pengasas Kuda Kepang Singapura, Iswandiarjo atau lebih dikenali sebagai Cikgu Wandi, berkata bahawa irsyad yang dikeluarkan adalah hanya sebagai panduan untuk orang Islam dan mereka, sebagai pengamal, menghormati pandangan MUIS
Tambah beliau, irsyad itu hanya berkuat kuasa sekiranya persembahan kuda kepang itu bertentangan dengan ajaran Islam sementara apa yang sedang mereka persembahkan hanyalah sebuah seni dan budaya yang perlu dipelihara
Menurut Cikgu Wandi lagi, tiada langkah tambahan yang wajar dilakukan setakat ini. Namun, mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga berkaitan keselamatan umum dan keselamatan para pemain demi mencegah sebarang perbuatan khianat dan salah faham
Cikgu Wandi berharap kuda kepang dapat dilestarikan untuk generasi akan datang
Comments