Guru Tajaka Dihukum Mati Kerana Meracuni 25 Kanak-Kanak
Sumber: AFP/STR
SEORANG guru tajaka di China telah dijatuhkan hukuman mati setelah didapati bersalah meracuni 25 orang kanak-kanak di sebuah tajaka di bandar Jiaozuo di wilayah Henan. Kejadian tersebut berlaku pada 27 Mac pada tahun lalu.
Guru yang hanya dikenali sebagai Wang Yun itu dilaporkan telah membubuh sejenis bahan kimia sodium nitrate ke dalam sup yang disajikan kepada kanak-kanak tajaka semasa waktu sarapan.
Sumber: Wynnie Chan / SCMP
Seramai 25 orang kanak-kanak muntah-muntah dan pengsan lalu segera dikejarkan ke hospital. Seorang mangsa kanak-kanak telah mati akibat keracunan setelah 10 bulan dirawat di hospital.
Sodium nitrate dalam jumlah kecil yang terkawal digunakan sebagai bahan pengawet makanan. Namun, ia boleh mengakibatkan keracunan jika disalahgunakan, lebih-lebih lagi untuk peringkat usia yang rendah.
Menurut laporan mahkamah, Wang Yun telah bertengkar dengan seorang teman sekerjanya sebelum kejadian tersebut. Kanak-kanak yang menjadi mangsa itu semuanya di bawah jagaan teman sekerja beliau.
Malah, sebelum kejadian ini, beliau pernah meracuni suaminya sendiri. Mujurlah suaminya pulih daripada keracunan tersebut.
Perbuatannya ini dianggap sebagai sebuah jenayah “yang penuh dengan dendam dan kebencian. Jenayah yang serius seperti ini memang layak dikenakan hukuman mati.”
Beliau dijangka akan menerima suntikan maut atau ditembak sehingga mati.
Warganet sewajarnya amat marah dengan kes ini.
Ada yang mula berasa khuatir sekiranya ia berlaku di Singapura.
SUNGGUH TAK BERHATI PERUT LANGSUNG!
Luahan Wartawan: Bak kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Habis tu nak tidur mana malam ni?
Geram, marah dan segala perasaan tidak puas hati terhadap sesiapapun, haruslah ada batasnya. Kita yang mesti dapat kawal diri sendiri sebelum bertindak. Sebenarnya, kita tidak perlu bertindak apa-apa pun.
Yang amat menyedihkan dan dikesalkan lagi, kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa kemarahan dan dendam.
Setiap tindakan kita digerakkan oleh akal, maka kita perlu bijak untuk menggunakan akal kita untuk menundukkan nafsu hati.
Kita mungkin tidak terfikir pun untuk melakukan sesuatu yang dahsyat seperti ini, tetapi kita juga perlu peka akan perasaan kawan-kawan sekerja di sekeliling kita.
Bukankah kita diingatkan dengan sebuah hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim,
“Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila segumpal daging itu baik, maka semua anggota tubuh akan baik. Apabila segumpal daging itu buruk, maka semua anggota tubuh akan menjadi buruk pula. Segumpal daging itu adalah hati (qalbun).”
Kommentare