Bapa Khabib Meninggal Dunia
Sumber: Getty Images
Abdulmanap Nurmagomedov, bapa dan pelatih kepada bintang seni mempertahan campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov, meninggal dunia semalam (3 Julai) setelah menghidap pelbagai komplikasi sejak dua bulan lalu dek virus COVID-19.
MULA JATUH SAKIT
Menurut laporan RT, Allahyarham, 57 tahun, dikejarkan ke hospital di Dagestan, Rusia pada lewat April setelah menghidap simptom penyakit radang paru-paru.
Arwah Nurmagomedov kemudiannya diterbangkan khas ke sebuah hospital tentera di Moscow di mana dia disahkan dijangkiti COVID-19.
Allahyarham juga mengalami serangan jantung pada bulan Mei dan diletakkan dalam keadaan koma.
Meski begitu, ESPN melaporkan pada 10 Jun bahawa Allahyarham bangkit seketika untuk “berbual dengan anaknya, dan senyum”.
Sumber: Getty Images
PULIH COVID-19
Arwah disahkan sembuh daripada virus COVID-19 pada 23 Jun.
Namun menurut Khabib ketika itu, arwah bapanya masih dalam ‘kondisi teruk’.
“Kondisi bapa saya masih serius. Dia kini berada dalam rawatan intensif.
“Dia sudah bebas virus korona tetapi jangkitan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada buah pinggan dan jantungnya,” kata Khabib, 31 tahun, kepada Channel One Russia.
Sumber: UFC
“Hari-hari saya ziarah bapa saya selama setengah jam. Saya pegang tangannya, berbual.
“Dia berikan gerak isyarat untuk menunjukkan bahawa dia mengecam saya. Namun dia tidak dapat berbual disebabkan peralatan yang diletakkan padanya.”
TEWAS PADA MALAM JUMAAT
Sumber: TASS
Malangnya, Allahyarham — yang juga digelarkan sebagai Father of Dagestan MMA — tewas dalam pertarungannya dengan jangkitan yang dihidapi.
Jenazah dikatakan akan dikebumikan di kampung asal Allahyarham di Kirovaul, Rusia.