500 Pelajar Memerlukan Bakal Dibantu Nur Insan Dalam Kempen ‘Bag To School’, Berazam Kum
Sumber: Nur Insan
Hanya $50,000 perlu dikumpulkan daripada masyarakat Singapura untuk membantu 500 murid antara usia lima hingga 17 tahun agar mereka dapat ke sekolah tahun hadapan, lengkap dengan keperluan asas.
Bertujuan untuk mengurangkan kos pembiayaan ibu bapa yang terkesan dek wabak COVID-19, kempen ‘Bag To School’ (atau ‘Beg Untuk Sekolah’) kelolaan institusi pendidikan Islam setempat, Nur Insan, dan Project Pencil Singapore mengalu-alukan kepada orang ramai untuk menderma sedaya mampu.
Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, Pengarah Penubuhan Tabung Nur Insan, Dr Md Yusof Sa’ad menerangkan bahawa bilangan peminta bantuan tahun ini jauh lebih tinggi.
“Sebelum ini, Nur Insan tidak memaparkan usaha kami kerana bantuan cuma dihulurkan berasaskan permintaan. Namun tahun ini, nama-nama yang tidak ada dalam senarai bantuan turut disertakan, khususnya kerana lebih ramai ibu bapa kesempitan wang.
Justeru, kami berharap mereka yang berkemampuan dapat menyokong kempen ini untuk bantu lakarkan senyuman pada wajah anak-anak yang kurang bernasib baik.”
Kanak-kanak yang layak bakal menerima baucar jenama Bata dan Popular yang masing-masing bernilai $30 dan $70 untuk membeli beg, kasut dan perkakas yang bersesuaian dengan citarasa mereka.
Kempen ‘Bag To School’ akan dijalankan hingga akhir tahun ini dan dibuka kepada semua bangsa dan agama.
Jika anda memerlukan bantuan, hantarkan permintaan anda ke info@nurinsan.sg. Semua permintaan akan menjalani proses penapisan.
Untuk membuat dermaan pula, lungsuri lelaman www.nurinsan.sg/btspb.
Comments